“Sedangkan lidah lagi tergigit,inikan pula suami isteri.” Itulah bidalan melayu yang sering kita dengar. Ia menjadi lumrah dan asam garam dalam alam perkahwinan. Ia juga menjadi kebiasaan jika berlaku pertengkaran kecil atau salah faham antara suami isteri, akan ada salah seorang yang akan ‘merajuk’.😅
Seperti biasa yang dapat kita jangka yang akan merajuk ialah sang isteri,oleh kerana fitrah seorang wanita yang ada ketika waktunya emosi tidak stabil dan mungkin juga kerana keadaan sekeliling yang boleh mempengaruhi perasaannya.
Oleh sebab itu, adakalanya sang suami kadangkala bingung malah ada yang tidak tahu untuk mencari solusi dalam memujuk sang isteri . Sang suami perlu cuba menyelesaikan masalah ini agar ianya tidak berlarutan sehingga berlaku perkara-perkara yang tidak diingini dalam rumah tangga. Nauzubillahiminzalik.Minta dijauhkan dari perkara-perkara yang tidak baik. Jadi apakah yang perlu suami buat untuk menambat semula hati sang isteri?
Jom follow tips- tips berikut! :
MINTA MAAF
Ya. Bunyi macam ‘cliché’ tetapi masih ada sesetengah isteri yang hanya mahu perkataan itu keluar dari mulut sang suami. Kadangkala,hanya dengan perkataan maaf ini dapat mencairkan semula hati mereka. Perkara ini memerlukan sedikit pengorbanan dari sang suami iaitu perlu merendahkan ke’ego’an untuk memulakan permohonan maaf walaupun masalah tersebut bukan dicetuskan oleh suami. Namun jika itu salah satu cara untuk menambat semula hati sang isteri,apa salahnya kan?😄
“DIAM BUKAN SEKADAR DIAM”
Aikk? Macam mana tu? Haa..macam ni, kadangkala ada yang jenis merajuk ni sampai tak nak dengar suara si suami walaupun si suami dah minta maaf.Jadi si suami perlu lebih bersabar dan jangan menambahkan lagi bebelan anda pada isteri atau apa-apa yang boleh menyebabkan pertengkaran mulut ketika waktu sebegini.
Cara yang baik buat si suami adalah diam di mulut, akan tetapi anda cuba perhatikan keadaan rumah atau anak-anak kecil mana tahu masih ada yang belum dibereskan,anda cuba lakukan. Selain dapat meringankan bebanan sang isteri, siapa tahu kalau isteri tersentuh melihat perkara begini lalu terbuka hatinya untuk memohon maaf atau menerima maaf dari sang suami. Inilah yang dimaksudkan ‘diam bukan sekadar diam’.
MAKANAN
Nak memujuk wanita ni memang diakui bukanlah satu perkara yang mudah dan pantas. Namun ada dari mereka yang sangat menghargai perkara-perkara yang orang lain nampak ianya macam biasa tetapi bagi diri mereka ia sangat bermakna dan istimewa. MAKANAN! YA!
Wanita dan makanan berpisah tiada! Oleh itu gunakan peluang ini untuk cuba menambat semula hati sang isteri sama ada mengajak si isteri ke kedai makan/warung/restoran kesukaannya atau membuat kejutan membelikan makanan kesukaannya!
APAKAH YANG MENJADI KESUKAAN ISTERI ANDA?
Jika anda seorang suami yang tahu tentang apa yang isteri anda suka, maka anda seorang suami yang beruntung kerana peluang untuk memujuk isteri anda lebih mudah. Misalnya, isteri anda seorang yang sangat sukakan bunga atau tanaman, maka anda hadiahkannya bunga atau pokok-pokok begitu juga jika isteri anda sukakan minyak wangi dan lain-lain.
Jika isteri anda seorang yang suka menonton filem atau drama, cuba raikannya dengan mengajak si isteri menonton filem atau drama kesukaannya berdua.
Sesi memujuk ini memerlukan pengorbanan dan kesabaran yang tinggi dari seorang suami . Tips-tips di atas adalah cadangan bagi para suami yang buntu untuk mencari penyelesaian. Masih banyak lagi cara untuk menambat semula hati sang isteri, terpulang kepada kreativiti masing-masing.
Namun, perkara-perkara kecil seperti yang dinyatakan di atas kadangkala mampu membuatkan hati sang isteri terusik semula kerana tidak semua wanita inginkan sesuatu yang mahal, hadiah yang besar dan sebagainya.
Hikmah yang terdapat dalam sesi memujuk ini, selain pengorbanan dan kesabaran, ia juga menjadi pelajaran buat suami dan isteri agar sentiasa memperbaiki hubungan antara satu sama lain supaya dapat mengekalkan keharmoniaan dalam rumah tangga.